Rasanya perkara seperti ini sudah tidak perlu dipersoalkan kerana ia merupakan perkara yang sering terjadi dikalangan masyarakat kita. Semua perkara ini terjadi hasil daripada suatu sifat atau penyakit hati yang dipanggil hasad dengki. Apa makna hasad dengki ini? Saya pinjam makna hasad dengki ini dari sebuah buku yang mana buku itu menyebut :
Hasad adalah satu perkataan yang diambil dari perkataan bahasa arab yang membawa erti dengki. Ramai orang yang menyamakan iri hati dan dengki. Padahal kedua-dua perkara ini berbeza. Iri ertinya cemburu melihat nikmat atau kelebihan yang diperoleh orang lain dan dia ingin seandainya dialah yang mendapatkan nikmat itu dan bukan orang lain. Sedangkan dengki pula adalah benci melihat nikmat yang diterima orang lain dan berusahasupaya nikmat itu hilang.
Natijah dari sifat dengki ini sekiranya tidak dibendung akan mendatangkan pelbagai kesan negatif sama ada kepada orang yang dengki itu ataupun mangsa orang dengki itu. Antaranya ialah apa yang saya telah disebutkan di awal tadi. Dan antara kesan yang dipetik dari al-Quran ialah
Sombong
Gara-gara dengki dengan nabi Adam menyebabkan iblis menjadi sombong sehingga menggagalkan dirinya untuk menuruti perintah Allah agar bersujud kepada nabi Adam sebagai penghormatan. Akibat dari kesombongannya itu maka saat itu terlucutlah segala kenikmatan yang dikecapi selama berada di dalam syurga dan tika itu juga iblis menjadi makhluk yang dilaknati oleh Allah dan diusir dari syurga. Firman Allah yang bermaksud
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.
Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."
Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina".
Berbunuhan
Pertumpahan darah pertama yang berlaku di muka bumi dapat diketahui sebagaimana tercatat di dalam al-Quran melalui kisah Habil dan Qobil. Disebabkan dengkinya Qobil kepada Habil kerana Allah menerima kurban Habil dari kurbannya maka Qobil mengambil keputusan untuk membunuh saudaranya. Firman Allah yang bermaksud
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):
" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;"Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;"
Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim".
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi. Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi. Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata:
"Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.
Dendam
(Ramai di antara mereka berkata): " Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna".
Ini antara kalimat yang diucapkan oleh salah seorang saudara nabi Yusuf dek kerana dengki kerana nabi Yusuf lebih disayangi dan dicintai oleh bapa mereka Nabi Yaakub dari diri mereka sendiri. Dari sifat dengki itu maka timbullah rasa dendam terhadap nabi Yusuf sehingga mereka berpakat untuk melakukan perkara yang tidak baik terhadap nabi Yusuf. Kisah ini tercatat dalam surah Yusuf.
(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata." (Ramai di antara mereka berkata):
"Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna".
Salah seorang di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu".
Ini antara perkara yang akan berlaku sekiranya kita terus membiarkan perasaan dengki itu menyubur dalam diri kita. Dan banyak lagi perkara-perkara yang tidak baik akan berlaku hasil dari sifat dengki. Oleh itu, jangan kita biarkan sifat dengki ini tumbuh segar dalam diri.
Andainya perasaan itu terbit maka removelah ia secepatnya dengan cara kita redho dengan setiap ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada setiap makhluk-Nya. Sekiranya terbit juga perasaan dengki itu bermakna kita tidak redho denga apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Adakah kita layak untuk melakukan sedemikian rupa itu terhadap tuhan yang Maha Agung?
Dan ingatlah dengan sabda Nabi yang bermaksud :
"Sesungguhnya hasad dan dengki itu akan memakan amal-amal baik sebagaimana api memakan (menghanguskan) kayu bakar."
Allah merupakan pencipta kita dan dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk-makhluk-Nya. Oleh itu, redholah dengan semua yang telah Allah takdirkan untuk kita. Tidak perlu untuk kita hasad dengki dengan orang lain. Dan sudah pasti besar ganjarannya di sisi Allah andainya kita redho dengan segala ketentuan dan ketetapan tuhan yang Maha Esa insyaAllah.
Sumber: iloveislam.com
2 comments:
sy suka entry ni. terima kasih
:)
bagos...copy boley??
Post a Comment